Pages

Tuesday 22 September 2015

WAHYU SEBAGAI SUMBER SAINS DAN TEKNOLOGI

Islam adalah agama yang sangat sempurna dan bersifat syumul. Kesempurnaan Islam jelas dilihat melalui sumber agama ini yang datang secara langsung dari Allah tuhan sekelian alam. Al-Quran dan al-Sunnah merupakan dua sumber utama bagi setiap ajaran dan asas di dalam Islam. Kedua-dua sumber ini adalah mukjizat yang paling agung yang turut menjadi sumber utama bagi setiap penemuan dan kemajuan sains dan teknologi pada hari ini.



1. Peranan al-Quran Dalam Sains dan Teknologi
Antara tanda mukjizat dalam al-Quran ialah fenomena alam sama ada di bumi maupun di langit. Ia memberi pelbagai maklumat yang berkaitan dengan sains dan teknologi. Segala tanda dan bukti menjelaskan segala ayat-ayat yang terkandung dalam al-Quran ternyata sangat bersesuaian dengan penemuan sains moden terkini sehingga ia menambahkan keyakinan akan kebenaran risalah dan mukjizat yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.

Bagi mendalami serta mengkaji segala tanda kebesaran Allah Taala sama ada di langit atau dibumi, al-Quran telah menegaskan penggunaan akal digunakan secara optimum : “Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal; (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi....” (Ali Imran (3):190-191.

a. Membuktikan kewujudan Allah Taala.
Merupakan satu cabaran kepada umat Islam untuk memperkukuhkan keimanan mereka kepada Allah Taala. Menyakini di dalam hati serta mengungkapkannya dengan penuh yakin akan kewujudan Allah merupakan intipati akidah umat Islam. Lebih-lebih lagi Allah mustahil dapat diketahui dengan mata kasar semasa di muka bumi ini, sebab “Dia tidak dapat dicapai oleh penglihatan mata, sedang Dia dapat melihat segala penglihatan itu” (Al-An’am (6):103). Mustahil juga bagi Allah dapat diserupakan dengan sesuatu : “Tidak ada sesuatu yang serupa dengan Dia, dan Dia-lah yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Asy-Syura(42):11).

Antara hikmah Allah menciptakan akal dan pancaindera kepada manusia ialah untuk membantu meneroka serta berusaha memahami akan kewujudan Allah Yang Maha Esa melalui penemuan fenomena-fenomena alam. Al-Quran telah mengambarkan segala kehebatan fenomena tersebut sehingga merangsang keinginan akal untuk mengkaji akan kehebatan ciptaan Allah Taala. Betapa indahnya Allah mengambarkan keunikan alam ciptaan dengan firmanNya : “Dan dia memasakkan gunung-gunung di bumi supaya bumi itu tidak goncang bersama kamu, (dan Dia menciptalan) sungai-sungai dan jalan-jalan agar kamu mendapat petunjuk.” (An-Nahl (16): 15).

Sekali lagi gambaran luar biasa yang amat jelas terjadi di laut dirakam di dalam Al-Quran dalam firmanNya : “ Dan dialah yang membiarkan dua laut mengalir (berdampingan); yang ini tawar lagi segar dan yang lain masin lagi pahit; dan Dia jadikan antara keduanya dinding dan batas yang menghalangi.” (Al-Furqan (25):53).

Imam Ibnu Kathir di dalam kitab Tafsir al-Quran al-Azim, “ Sebahagian ulama berpendapat, sesiapa yang mengamati langit yang luas dengan bintang-bintang, bulan dan matahari yang beredar di atas paksinya tanpa henti, kemudian memerhatikan laut yang mengelilingi tanah daratan, kemudian memerhatikan bumi serta gunung ganang yang terpancang di atasnya, kemudian memerhatikan sungai yang mengalir di samping pelbagai jenis haiwan serta tumbuh-tumbuhan, akan memperoleh bukti mengenai kewujudan Tuhan yang maha pencipta lagi maha agung dan maha bijaksana.”
Bukankah segala fenomena-fenomena alam samaada di bumi maupun di langit itu Allah Taala yang menciptakannya? Justeru jadikanlah segala ciptaan alam ini satu bukti akan kewujudan Allah Taala serta dapat memperkukuhlan lagi keimanan dan ketaqwaan kepadaNya.

b. Al-Quran menggalakkan kajian sains, alam semesta dan alam tabii
Ilmu sains bukanlah ilmu yang terasing dari ilmu Islam lain yang berteraskan al-Quran dan Sunnah. Ia harus disepadukan bagi memenuhi tuntutan wajib yang dianjurkan oleh agama Islam. Kesedaran menyeluruh tentang kepentingan ilmu tanpa membezakan berdasarkan bangsa atau warna kulit. Islam memandang ilmu sebagai satu hikmah kebijaksanaan yang perlu dikongsi bersama dan berpunca daripada Allah Taala. Berulangkali al-Quran menegaskan tentang persoalan pentingnya memikirkan sesuatu ciptaan makhluk Allah melalui firmanNya : “Tidakkah mereka melihat dan memikirkan bagaimana Allah mencipta makhluk-makhluk pada mulanya. Kemudian ia akan mengembalikannya (hidup semula sesudah matinya)? Sesungguhnya yang demikian itu amatlah mudah bagi Allah.” (Al-Ankabut (29): 19). Menurut Ibnu Sina alam tabii merupakan cermin bagi kebijaksanaan Pencipta, maka kajian ke atasnya akan membawa seseorang itu kepada sumber segala kewujudan. Oleh itu semua sains tabii haruslah bertujuan untuk mencungkil hakikat alam tabii tanpa melupakan hubungan terus dengan Penciptanya. Tegasnya sains tabii mempunyai huraian fiziknya tetapi huraian tersebut dalam konteks kompenan metafizik Tauhid. (Nasr, S.H, An Introduction to Islamic Cosmological Doctrine, rev.ed.1978)

c. Al-Quran sebagai sumber ilmu sains
Al-Quran merupakan sumber pengetahuan tentang segala bentuk kehidupan dan fenomena alam. Di dalamnya terkandung gambaran komprehensif serta kaedah sistematik yang mengatur segala kehidupan individu dan masyarakat disamping menyusun norma-norma sosial yang menjadi asas pembentukan tamadun yang adil dan seksama. Sains kesihatan tersurat dalam firman Allah : “Hai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah disetiap (memasuki) masjid, makan dan minumlah, dan jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.” (Al-A’raf (7): 31).

Dasar ilmu perubatan telah dinyatakan dengan jelas, ia menjadi asas kepada ilmu kesihatan yang mementingkan pemakanan seimbang merupakan eleman hidup sihat manakala makanan berlebihan banyak menimbulkan penyakit.

Begitu juga ilmu sains kemasyarakan telah dinaskan dengan jelas melalui firman : “ Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal ”. (Al-Hujurat (49):13)

Dasar ilmu geografi dan sejarah juga dinukil oleh Allah Taala : “ katakanlah: “ Berjalanlah di (muka) bumi, maka perhatikanlah bagaimana Allah menciptakan (manusia) dari permulaannya, kemudian Allah menjadikannya sekali lagi. Sesungguhnya Allah maha Kuasa atas segala sesuatu.” (Al-Ankabut (29):20).

d. Al-Quran menggalakkan pembangunan sains dan teknologi.
Allah Taala menyuruh untuk membuat kajian tentang rahsia alam semesta secara sistematik. FirmanNya : “ Apakah mereka tidak melihat kepada unta bagaimana ia diciptakan. Dan langit bagaimana ia ditinggikan. Dan gunung-ganang bagaimana ia ditegakkan. Dan bumi bagaimana ia dihamparkan.” (Al-Ghasiah : 17-20). Bahkan Allah mengelar golongan yang suka mengkaji alam ini dengan gelaran ulul albab. “ Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi ulul albab.” (Ali Imran: 190).

Al-Quran memberi jalan kepada penciptaan inovasi berdasarkan kepada kekuatan pemikiran pencipta, segalanya bertitik tolak dari asas yang telah dinyatakan di dalam al-Quran. Kisah pembuatan bahtera oleh Nabi Nuh a.s menjelaskan tentang keperluan semasa yang harus dilakukan demi keselamatan bagi menghadapi azab berupa banjir besar setelah berlakunya pendustaan umatnya. “ lalu Kami wahyukan kepadanya: “Buatlah behtera dengan pengawasan serta kawalan Kami, dan dengan panduan wahyu Kami (tentang cara membuatnya)....” (Al-Mukminun (23): 27).

Philip K. Hitti di dalam buku History of the Arabs berkata, “ Orang Islam Sepanyol mengukir sejarah intelektual yang gilang- gemilang di zaman pertengahan Eropah. Antara abad kelapan dan ketiga belas, golongan ini membawa obor budaya dan tamadun ke seluruh dunia. Inilah sebenarnya yang menjadi pemangkin kepada arus kemodenan di eropah.”

Sains dalam Islam amat berbeza dengn konsep yang diamalkan di barat. Mereka memisahkan sains daripada Tuhan atau agama. Para saintis dari pada Akademi Sains Kebangsaan Amerika memutuskan. “ Sebarang kenyataan yang menetapkan bahawa asal usul kehidupan ini ada perkaitan dengan unsur ghaib tidak boleh diiktiraf sebagai sains.” (Science and Creationism: A View from the National Akademy of Sciences, Edisi kedua. National Academy of Sciences. 1999)

Sedangkan sains merupakan alat yang sepatutnya tunduk mengikut kehendak agama. Justeru sains tidak boleh digunakan untuk mengubah prinsip-prinsip agama bahkan ia harus digunakan untuk memperkukuhkan agama dan menjelaskan lagi tentang kebenaran al-Quran.

e. Menegaskan kebenaran ilmu
Keterbatasan akal menyebabkan timbulnya prasangka tidak benar. Kemampuan akal yang terbatas ini juga tidak mampu menerangkan bagaimana akal boleh memahami sesuatu, apatahlagi memahami tentang roh dan nyawa yang ada pada diri manusia. Malah akal juga tidak mampu menguasai angka terbesar. Allah menegaskan : “ Janganlah kamu mengikut apa yang kamu tidak ketahui, sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati kamu akan dipertanggungjawabkan (di akhirat). ” (Al-Isra (17):36).

Al-Quran membimbing manusia agar menggunakan akal berfikir secara rasional. Kerasionalan yang dianjurkan oleh al-Quran tidak terhenti dalam soal alam semesta sahaja malahan soal-soal kepercayaan dan ketuhanan juga. Al-Quran telah menyatakan lebih daripada 1,400 tahun dahulu langit dan bumi bercantum padu sebelum ia dipisahkan dalam bentuk yang kita lihat sekarang ini.

Dengan lahirnya teori Big Bang pada abad dua puluh terbuktilah kebenaran kenyataan ini. Al-Quran juga menyatakan langit dan bumi lahir daripada asap atau dukhan. Saintis baru-baru ini mengesahkan bumi serta objek-objek di langit lahir daripada gumpalan asap raksasa yang didominasi oleh gas hidrogen dan helium.

f. Menolak khurafat dan tahyul
Islam dengan wahyu terunggulnya iaitu al-Quran dengan jelas menolak bentuk tahyul dan khurafat dalam pemikiran manusia. Al-Quran menjelaskan bahawa stiap kejadian Allah mempunyai sebab dan tertakluk pada ketetapan Allah : “Sesungguhnya Kami telah memberi kekuatan kepadanya di bumi, dan Kami telah memberikan kepadanya jalan (sebab) untuk mencapai sesuatu.” ( Al-Kahfi (18): 83).

Pada pertengahan kurun ke-14 satu wabak penyakit membawa maut telah berlaku diEropah dan sekitar Laut Mediterranean. Masyarakat Barat waktu beranggapan bahawa wabak ini berpunca daripada orang Yahudi dan jasad cakrawala atau kerana kemarahan Tuhan lantaran dosa yang dilakukan manusia. Ibnu al-Khatib seorang sarjana Muslim pada waktu itu (1374 m) menjelaskan bahawa fenomena tersebut disebabkan ole h jangkitan kuman. Masyarakat Barat yang tebal dengan tahyul sukar menerima sebab-sebab yang dianggap sebahagian dari hukum sains lantaran dogma Gereja masih mengesuai pemikiran mereka.

2. PERANAN AL-SUNNAH DALAM SAINS DAN TEKNOLOGI
Dari segi bahasa sunnah bererti perjalanan (sirah) sama ada yang baik atau jahat. Sekiranya dirujukkan kepada diri Nabi Muhammad s.a.w., sunnah ialah kebiasaan atau amalan Nabi Muhammad s.a.w. yang selalu dilakukan oleh baginda.

Dari segi istilah, sunnah ialah apa-apa yang dihubungkan dengan diri Rasulullah s.a.w. baik yang berupa perintah mahupun larangan atau juga keizinannya yang pernah berlaku sepanjang hidup baginda.

Dalam erti kata lain, sunnah ialah sesuatu yang disandarkan kepada baginda Rasulullah s.a.w. baik dari segi perkataan, pengakuan, dan perbuatan baginda. Sunnah Rasulullah s.a.w. turut memainkan peranan dalam kebangkitan bidang ilmu sains dan teknologi Islam seperti dalam bidang ilmu Islam, pentadbiran, ekonomi, kehakiman, pendidikan, perubatan, senibina, pertanian dan lain-lain bidang ilmu sains dan teknologi Islam.

Sunnah turut menjadi contoh teladan yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. bagi segenap umat Islam sebagai panduan dalam menjalani hidup seharian berlandaskan syariat Islam.

Seperti sabda Rasulullah s.a.w., “Kutinggalkan untuk kamu dua perkara, tidaklah akan tersesat selama-lamanya selama kamu masih berpegang kepada keduanya, iaitu Al Quran dan sunnah Rasul-Nya,”.

Dalam bidang sains dan teknologi Islam, sunnah Rasulullah s.a.w. memainkan peranan yang amat penting. Antara peranan sunnah ialah:

a. Sunnah sebagai sumber utama selepas Al Quran.
Al- Sunnah merupakan sumber ilmu yang merangkumi ilmu ajaran Islam yang bersangkutan dengan akidah, konsep, ibadat, penetapan hukum, akhlak, adab sopan santun, dan bidang-bidang kehidupan lainnya. Pelbagai cabang dan sumber ilmu diterangkan oleh Rasulullah SAW melalui sunnah baginda yang mempunyai kepelbagaian hikmah yang memberi manfaat dalam kehidupan manusia.

b. Sunnah juga merupakan penjelasan teori dan praktikal bagi Al Quran.
Al Quran merupakan undang-undang yang memuatkan perkara pokok (utama) dan kaedah-kaedah dasar dalam Islam. Bagaimana pun, tidak banyak penjelasan secara teliti berkaitan perkara utama dan kaedah-kaedah dasar Islam di dalam Al Quran. Justeru, sunnah dijadikan medium untuk menjelaskan lagi ayat-ayat Al Quran.

Firman Allah s.w.t dalam Surah al‐Baqarah, ayat 183: ‘Hai orang‐orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana ia diwajibkan ke atas orang‐orang yang terdahulu dari kamu supaya kamu bertaqwa’

Ayat di atas menyatakan firman Allah SWT supaya seluruh umat Islam berpuasa sebagaimana yang telah diwajibkan ke atas orang-orang terdahulu iaitu berpuasa pada bulan Ramadhan. Manakala terdapat banyak hadis yang menerangkan lebih lanjut tentang syarat-syarat, adab-adab dan kelebihan berpuasa contohnya hadis riwayat Ahmad, al‐Bukhari dan Muslim daripada Sahl bin Sa’d, sabda Rasulullah:

“Sesungguhnya dalam syurga terdapat sebuah pintu yang dikenali dengan nama Rayyan, dimana memasuki daripadanya orang‐orang yang berpuasa pada hari kiamat dan yang lain tidak berhak. Dikatakan mana orang yang berpuasa? Lantas mereka bangun dan masuk melaluinya. Apabila selesai ditutup dan tiada yang lain berhak memasukinya.”

c. Gesaan pengkajian sains dan fenomena alam tabi’i
Melalui gesaan tersebut, ramai failasuf Islam mengkaji fenomena kejadian alam yang membawa kepada penerokaan cabang ilmu sains dan teknologi baru. Cendekiawan Islam menjadikan galakan di dalam Al Quran dan sunnah sebagai panduan dalam menghasilkan pelbagai aktiviti dan penerokaan ilmu yang menjadi ikutan ramai ilmuwan berikutnya. Sekali gus, mengembangkan lagi bidang sains dan teknologi Islam.

Selari dengan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Zar r.a. daripada Rasulullah SAW yang bermaksud: “Fikirkanlah mengenai segala makhluk Allah; dan janganlah Allah; dan janganlah kamu memikirkan tentang Zat Allah kerana yang demikian menyebabkan kamu binasa (dalam kesesatan)”.

Hadis ini memberi galakan kepada kita sebagai manusia untuk sentiasa membuat kajian tentang kejadian dan fenomena alam tabii ciptaan Allah. Kajian ini merangkumi segala kajadian makhluk Allah yang ada di langit dan di bumi. Hadis ini turut memberi peringatan kepada kita agar tidak mengkaji akan zat Allah kerana keterbatasan dan ketidakupayaan akal kita untuk berfikir tentangnya.

Terlalu banyak kajian saintifik berkenaan kejadian Allah yang boleh dilakukan oleh manusia. Sebagai contoh, dalam bidang sains fizik, kincir angin atau noria di Fayyoum, Mesir adalah sebahagian kecil pembaharuan dalam bidang fizik yang berlaku pada zaman kegemilangan empayar Islam yang dibina oleh al-Jazari. Kegemilangan al-Jazari adalah hasil manuskrip beliau berjudul ‘Kitab fi ma’rifat al-hiyal al-handasiyya’ yang bermaksud ‘buku mengenai ilmu mekanikal yang bijak.

d. Sunnah Rasulullah SAW menggalakkan umat menuntut ilmu.
Riwayatkan Tabrani, baginda Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang mati ketika menuntut ilmu, maka ia akan menemui Allah SWT, sedangkan jaraknya ketika itu dengan para nabi tidak ada, kecuali satu darjat kenabian,”. Darjat yang dimaksudkan ialah kemuliaan orang yang menuntut ilmu di sisi Allah.

Hadis di atas berperanan sebagai galakan kepada umat Islam mencari ilmu selepas turunnya firman Allah SWT tentang kewajipan menuntut ilmu. Melalui galakan ini, semakin ramai umat Islam terdahulu khususnya dan sekarang amnya mencari ilmu bermanfaat sesuai dengan ketetapan syariat baik ilmu fardu ain dan fardu kifayah.

No comments:

Post a Comment